Friday, 23 September 2016

SITI BUHARI - INSPIRASI FESYEN SITI DATO’ SOSILAWATI


INDUSTRI fesyen tanahair yang semakin berkembang dan mendapat tempat oleh peminat fesyen tempatan membuka ruang kepada pengkarya tanahair untuk mempertaruhkan daya kreativiti hasil rekaan masing-masing.

Didorong oleh minat dan cintanya terhadap fesyen, anak bongsu pengasas produk kosmetik terkenal Datuk Sosilawati Lawiya,  Siti Nur Fatimah Buhari, 19 tampil dengan rekaan fesyennya sendiri, Siti Buhari.


Ingin dikenali sebagai Siti Dato’ Sosilawati, idea untuk menceburi bidang fesyen juga turut mengambil inspirasi dari ibunya yang sememangnya pandai bergaya.

“Dari kecil saya lihat sendiri bagaimana ibu begitu teliti tentang fesyen yang bakal digayakan sama ada ke pejabat, majlis, temu janji dan sebagainya. Bermula dengan pemilihan material, kasut, tas tangan, aksesori, gaya rambut dan solekan semuanya harus disuai padan dengan  teliti kerana ia mencerminkan imej dan personalitinya. Sudah tiba masanya untuk saya berkongsi idea dan kreativiti di persada fesyen kita,” katanya ketika ditemubual secara eksklusif baru-baru ini.


Menurut Siti, industri fesyen bukan hanya tentang kemewahan, kecantikan mahupun populariti tetapi dilihat sebagai satu industri yang menyumbang kepada pertumbuhan negara.

“Lihat saja hub fesyen dunia seperti Perancis, Itali, Amerika Syarikat mahupun Jepun, perkembangan fesyen mereka menyumbang berbilion ringgit kepada pendapatan negara. Minggu fesyen seperti Milan Fashion Week, London Fashion Week dan Paris Fashion Week bukan sekadar pentas peragaan koleksi terkini pereka-pereka terkenal tetapi menjadi tempat memuktamadkan kontrak bernilai jutaan ringgit. Begitu besar pengaruh fesyen terhadap ekonomi sesebuah negara itu.

“Pereka fesyen Malaysia seperti Zang Toi, Bernard Chandran, Farah Khan, Jimmy Choo, Faisol Abdullah, Melinda Looi, Rizalman dan ramai lagi yang berjaya menembusi industri fesyen dunia. Kejayaan mereka sudah tentu memberi inspirasi kepada pereka muda termasuklah saya untuk tampil dengan koleksi dan label sendiri,” katanya yang turut mengagumi bakat pereka muda seperti FiziWoo dan Alia Bastaman.


KOLEKSI SULUNG

Sebagai pengenalan, Siti Buhari tampil dengan dua koleksi sulung  termasuklah rekaan sempena Aidil Adha dan ‘Ready To Wear’.  Koleksi Aidil Adha menampilkan kaftan pastel serta jubah hitam dijahit menggunakan material berkualiti tinggi.





“Koleksi ‘Ready To Wear’ adalah  rekaan sederhana namun elegan. Dengan potongan feminin, setiap rekaan menawarkan sentuhan keanggunan tetapi mengekalkan keseimbangan antara kesopanan, gaya, keselesaan dan praktikal,” ujarnya.

Menurut Siti, penggunaan fabrik seperti ‘heavy crepe’, organza, sifon dan lycra. Siti Buhari menambah perician seperti manik dan reben dengan padanan penggunaan warna yang berani seperti merah dan emas bakal menambah keanggunan pemakai.





"Saya bekerja rapat dengan empat pereka tempatan sejak April lalu. Rekaan kami dizahirkan dengan bentuk feminin seperti ‘princess cutting’, peplum dan salah satu daripada rekaan kami adalah abaya untuk dipakai dengan palazo. Ia semuanya tentang elegan,” katanya bakal tampil dengan 20 jenis rekaan.

Kesemua koleksi Siti Buhari bakal dilancarkan pada 4 September lalu  di ibu negara. Sebagai permulaannya, harga yang ditawarkan tidak melebihi RM350.








“Impian saya ingin melihat jenama Siti Buhari mampu dimiliki oleh setiap penggemar fesyen tempatan. Saya merancang untuk mengukuhkan jenama Siti Buhari sebelum menembusi ke pasaran Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ia sememangnya tidak mudah, namun kegigihan ibu saya membina jenama perniagaannya akan menjadi kekuatan untuk saya pergi jauh,” katanya lagi.





Koleksi Siti Buhari boleh didapati di instagram @sitibuhari_ sebaik saja ia dilancarkan. Selain itu, jenama ini akan juga berhasrat untuk berkolaborasi dengan platform beli belah dalam talian seperti Fashion Valet dan Zalora untuk meluaskan pasaran mereka.


Pada pelancaran sulungnya itu, ramai rakan artis turut hadir memberi sokongan antaranya Mia Filzah, Kila Fairy dan Ruhainies .

Siti Fatimah  tampil elegan pada pelancaran koleksi  sulung Siti Buhari

Rita Datu Sosilawati, kakak sulung Siti Fatimah turut hadir pada pelancaran koleksi Siti Buhari

Ruhainies hadir dengan menyarung busana Siti Buhari pada malam itu



No comments:

Post a Comment